- text size + text size

Kegagalan Sistem Pendidikan Malaysia Dari Segi Bahasa

Oleh Ahmad Hafidz Baharom

Memang jarang untuk ditemukan seorang berfahaman politik kanan dari mana-mana bangsapun untuk mengaku yang sistem pendidikan kita telah gagal dalam aspek menyatukan warga Malaysia sendiri. Malah, untuk menghasilkan graduan - graduan pendidikan tahap tertiari yang boleh dikatakan "world class."

Sedihnya, kegagalan ini berpunca daripada beberapa pihak. Pihak - pihak yang terlibat termasuklah ibubapa, kementerian pendidikan itu sendiri, individu tersebut, malah media massa sendiri juga bersalah dalam menyebabkan kegagalan ini.

Dari pihak ibubapa, jelas tertera daripada statistik pendaftaran para pelajar di sekolah-sekolah kebangsaan, biarpun peringkat rendah mahupun menengah. Jikalau dilihat daripada statistik dari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia, jelas sekali yang bilangan pelajar bukan Bumiputera di sekolah-sekolah kebangsaan, yang sepatutnya sesuai untuk pelajar berbilang kaum, telah diabaikan. Pihak ibubapa ini lebih suka anak-anak mereka dihantar ke sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil, atau lebih dikenali sebagai sekolah-sekolah venakular.

Perbezaan paling ketara antara sekolah kebangsaan nasional dan sekolah vernakular ialah medium atau bahasa yang digunakan untuk mendidik para pelajar. Jelas maklum sekolah kebangsaan nasional menggunakan Bahasa Malaysia, manakala sekolah vokasional menggunakan Bahasa Mandarin atau Bahasa Tamil untuk mendidik anak-anak muda di sekolah masing-masing. Perbuatan ini secara tidak langsung telah merosakkan objektif kerajaan untuk menggunakan sistem pendidikan negara untuk mengeratkan persaudaraan di antara pelbagai kaum di Malaysia ini.

Pada tahun awal 90-an, mana pernah terdengar kes satu kelas seramai 40 orang di sekolah kebangsaan yang semuanya Melayu?

Pada masa yang sama, para pelajar di sekolah vernakular pula hanya akan bergaul dengan kaum masing-masing juga, dengan kemungkinan peratusan pelajar Melayu di sekolah-sekolah tersebut agak minima. Oleh itu, bagaimanakah kita hendak mencapai kononnya "masyarakat berbilang kaum yang hidup bersatu dan harmoni," sampaikan nak bergaul pun sudah susah? Inilah kegagalan sistem pendidikan kita untuk menjayakan apa yang pihak pembangkang sendiri gelar konsep "satu negara, satu bangsa" tetapi langsung tidak endahkan punca kegagalan konsep ini adalah hubungan renggang di antara kaum-kaum di Malaysia dari kegiatan mereka sendiri yang mempromosikan sekolah vernakular dengan fanatiknya.

Dari segi individu pula, saya ingin mengungkap seperkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita, iaitu bahasa rasmi negara ini ialah Bahasa Malaysia. Dengan itu secara tidak langsung bukankah setiap rakyat negara ini perlu memahami dan boleh bertutur dalam bahasa rasmi kita ini, sebagai rakyat Malaysia?

Tapi mengapa rakyat negara ini sendiri ada yang langsung tidak reti bercakap bahasa kita, sampai boleh ditahan pihak imigresen selama 6 bulan, sampai beranak dalam kem tahanan dan kemudiannya dicetak di media massa sebagai kes penghinaan kaum India sejagat? Adakah adil berbuat sedemikian walhal wanita tersebut tidak boleh bertutur Bahasa Melayu, sampai pihak imigresen sendiri cuba membantu dia dengan menyuruh dia menyanyikan lagu Negaraku pun dia tidak dapat lakukannya?

Saya menyalahkan individu terhadap kesan ini kerana sudah ternyata yang Bahasa Malaysia adalah penting untuk pertuturan di antara kaum selain daripada Bahasa Inggeris. Tetapi jelas daripada kes imigresen di atas, individu tersebut antara tak endahkan langsung kepentingan ini, atau lebih selesa berperangai ignorant sampailah dia kena tahan pihak imigresen. Ini bukanlah kes asing dan menuding jari ke kaum India sahaja. Melayu dan Cina pun bersalah dalam hal ini.

Kalau dilihat dari pandangan komuniti Cina, Bahasa Malaysia hanyalah bahasa ketiga kepada mereka, dengan lebih berforkus terhadap bahasa ibunda mereka terlebih dahulu diikuti pula dengan bahasa Inggeris. Malangnya, kalau mereka tidak fasih dalam bahasa Inggeris pun masih lagi mempunyai peluang pekerjaan kerana sekarang kaum Cina dalam sektor komersial telah semakin cerdik. Tambah sahaja keperluan "fasih dalam bahasa Mandarin/Kantonis," sudah termaktublah peluang pekerjaan tersebut untuk dibaca sebagai "untuk kaum Cina sahaja."

Kalau dilihat dari kaum Melayu, bahasa Malaysia telah dibahagikan kepada dialek-dialek spesifik kepada tiap - tiap negeri sampai lupakan Melayu sama Melayu. Ini secara tidak langsung telah memecah belahkan orang Melayu itu sediri kepada semangat sokong negeri. Kedah dengan Kedah, Kelantan dengan Kelantan, Terengganu dengan Terengganu. Orang Melayu yang dari kawasan lain-lain semuanya terkapai-kapai untuk memahami bahasa yang dipergunakan, sampai Kamus Dewan pun tak mungkin membantu operasi translasi.

Selain dari itu, ada pula orang Melayu seperti saya sendiri yang lebih fokus terhadap penekanan Bahasa Inggeris dalam lisan serta penulisan saya. Kemungkinan besar ini juga sebahagian daripada kegagalan sistem pendidikan negara, atau mungkin inilah alternatif untuk menyemaikan kembali harmoni di antara kaum.

Dari segi sistem pendidikan negara kami yang diagung - agungkan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Rendah dan Tinggi, apakah sebenarnya yang mereka begitu bangga?

Pada waktu ini, bolehkah dijanjikan yang graduan hasil pendidikan tinggi dan rendah di Malaysia ini boleh dikatakan bertaraf dunia sampaikan ayat lisan temuduga Bahasa Inggeris pun sampai terkalut-kalut lidah nak terjawab? Adakah kita sendiri boleh berbangga yang sekarang ini rakyat terbahagi disebabkan tidak pernah bergaul di antara kaum-kaum lain, terutama sekali dari kalangan para pelajar UiTM yang kemungkinan besar tidak pernah bergaul dengan kaum Cina dan India di luar kampus?

Sekarang ini disebabkan kekecohan kerajaan mempromosikan idea globalisasi, subjek - subjek Sains dan Matematik telah dijadikan subjek diajar dalam Bahasa Inggeris. Apakah hasil positif daripada polisi ini? Apakah statistik yang boleh dijadikan bukti?

Pihak pembangkang negara kita sekarang inginkan bahawa semua sistem kuota Melayu dihapuskan untuk memberikan peluang sama rata untuk rakyat jelata. Saya menyokong idea tersebut, tapi saya mahu syarat tambahan untuk memastikan prinsip "satu bangsa, satu negara" yang dijadikan laungan mereka itu menjadi kenyataan.

Jadi, ya, marilah kita jadikan sistem pendidikan berdasarkan sistem meritokrasi, tetapi basis pertamanya adalah merit bahasa kebangsaan kita, yakni Bahasa Malaysia. Kita adakan satu ujian piawaian tahap rendah, menengah dan universiti untuk mengkaji kefasihan seluruh rakyat, tidak kira bangsa, dalam bahasa rasmi negara kita. Kita ada ujian 1119 dan MUET untuk Bahasa Inggeris, tetapi nampaknya Bahasa Malaysia telah diabaikan.

Jikalau terdapat pelajar yang gagal, mereka tidak akan dapat sijil pendidikan mereka (PMR/SPM/Ijazah) dan perlu mengambil ujian tersebut sekali lagi. Ujian ulangan tersebut akan diadakan setiap 2 bulan, dengan pemeriksa dan pengendalian di bawah penguatkuasaan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Malahan, apa kata kita jadikan keputusan ujian-ujian ini sebagai syarat-syarat pengambilan pekerjaan? Sebagai seorang yang bekerja di Malaysia di zaman globalisasi, memang benar bahawa bahasa Inggeris adalah penting, tetapi memandangkan inilah bahasa kebangsaan, bukankah relevan untuk seseorang menguasai bahasa Malaysia terlebih dahulu, untuk bertutur dengan lebih kurang 27 juta manusia di negara kita?

Sebagai satu lagi syarat tambahan, apa kata kita menguji kefasihan Bahasa Malaysia ini bermula daripada ahli-ahli parlimen itu sendiri? Saya sendiri ingin melihat keputusan peperiksaan Yang Berhormat dari Ipoh Timur dan Kinabatangan, dan saya rasa Yang Berhormat dari Sungai Siput pasti tiada masalah.


Ahmad Hafidz Baharom

Ahmad Hafidz Baharom merupakan seorang graduan UiTM dari jurusan IT.

← Back